Pukul ‘bodyguard’ sebab puasa, empat lelaki direman.

ANGKARA pukul dua ‘bodyguard’ serta ugutan bunuh akibat berpuasa, tiga lelaki direman selama lima hari manakala seorang lagi suspek direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Difahamkan, tiga daripada mereka merupakan pekerja di sebuah syarikat milik majikan terbabit manakala seorang lagi bekerja sebagai pengawal peribadi.

Mahkamah mengeluarkan perintah reman tersebut selepas membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan kesemua suspek, bermula hari ini.

Kesemua mereka yang ditahan masing-masing berusia 38 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam, dua pengawal peribadi bagi seorang majikan dikatakan dipukul dengan menggunakan rotan termasuk diacu pistol akibat tidak berpuas hati terhadap mangsa yang berpuasa pada bulan Ramadan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada sebuah kondominium di Jalan Pinang Kuala Lumpur.

Kesemua suspek ditahan malam tadi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.