Pukul ‘bodyguard’ puasa, ahli perniagaan dan pembantu mengaku tidak bersalah

SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas lima pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan terhadap dua pengawal keselamatan di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.

Tertuduh Chung Chee Yang, 43 tahun, didakwa bersama pembantu peribadinya Choo Hin Voon, 43 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan untuk mendatangkan kecederaan parah dengan mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Bag pertuduhan kedua dan ketiga, Chee Yang didakwa bersuhabat dengan tertuduh kedua dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan menggunakan senjata rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima, Chee Yang turut dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam Zulkepli pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Manakala bagi tertuduh kedua, Choo Hin Voon, 43, dia berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua mangsa menggunakan rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau dua daripada mana-mana hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh pertama Chee Yang diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, dan RM20,000 bagi dua lagi pertuduhan.

Manakala tertuduh kedua Hin Voon dibenar diikat jamin sebanyak RM20,000 atas dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad, manakala tertuduh diwakili Peguam Loi Yap Loong.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 Jun depan sebagai sebutan ssmula kes.