Protes #Lawan gagal memasuki Dataran Merdeka

POLIS berjaya menghalang kira-kira 400 peserta protes kerajaan gagal yang cuba memasuki kawasan Dataran Merdeka hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka hanya berhimpun di luar kawasan dataran sebelum berjaya disuraikan dalam keadaan aman.

“Mereka telah menyasarkan Dataran Merdeka jadi kita telah halang mereka daripada masuk ke Dataran Merdeka dan mereka telah membuat perhimpunan tersebut di luar kawasan.

“Kita telah memberi masa dan mereka telah bersurai dalam keadaan aman, kerana dalam tempoh PKP tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk berhimpun walaupun dalam keadaan aman,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, hasil pemerhatian pihak polis, sebahagian besar peserta yang terlibat terdiri daripada golongan anak muda.

Polis percaya kesemua mereka merupakan individu yang sama terlibat dalam himpunan di Dataran Merdeka sebelum ini.

Mengulas lanjut, isu penjarakan fizikal dikhuatiri sukar untuk dikawal sewaktu berlakunya himpunan meskipun rata-rata mereka memakai pelitup muka.

Setakat ini, polis sedang mengenal pasti individu terlibat dalam himpunan berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.

Himpunan tersebut yang bermula jam 11 pagi itu dikatakan sebagai protes terhadap kerajaan yang dikatakan gagal selain menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan.