Polis siasat VIP langgar SOP, tak pakai ‘mask’ dalam majlis tertutup

POLIS sedang giat menyiasat dakwaan sekumpulan ahli politik dan juga ahli perniagaan yang dikatakan melanggar SOP dalam penganjuran sebuah majlis semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Fakhruddin Abdul Hamid, siasatan dibuat susulan laporan yang dibuat sebaik sahaja tular gambar melibatkan beberapa individu kenamaan tidak memakai pelitup muka di sebuah hotel.

“Pihak polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fakhruddin, pihaknya turut menegaskan agar mana-mana penganjur mahupun syarikat agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi usaha memerangi wabak COVID-19 yang masih merebak.

Semalam tular di media sosial beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk.