Polis siasat Ganesparan Nadaraja, isu video tular berunsur hinaan dan hasutan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki dikenali sebagai Ganesparan A/L Nadaraja berhubung satu video tular yang berunsur hasutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, menerusi video yang bertajuk ‘Racist In Vaccine’ terkandung kenyataan yang menghina Institusi Diraja, isu perkauman, dan hasutan yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Menerusi video berkenaan, individu tersebut turut mendakwa kerajaan memberikan vaksin berkualiti rendah dari China bagi kegunaan bukan muslim.

“Klip video berdurasi 8 minit 54 saat itu telah menerima 550 respons, 247 komen, yang kini turut tular menerusi Whatsapp.

“Siasatan kini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) kerana mempunyai kenyataan berunsur hasutan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd Jalil, suspek juga mempunyai 18 kertas siasatan terhadapnya sejak 2018 di bawah Akta Hasutan 1948.

Pihaknya memaklumkan, suspek dipercayai berada di Jerman ketika ini dengan kali terakhir berada di Malaysia pada 2 November 2017 selain pasport turut dibatalkan Jabatan Imigresen.

Kes disiatan mengikut Seksyen Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegentaran awam.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Video tular berkenaan menunjukkan suspek dengan jelas menghina Institusi Diraja dan pihak kerajaan berhubung situasi semasa negara serta isu pemberian vaksin.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.

PDRM dalam masa sama mengingatkan orang ramai untuk menggunakan platform sosial media dengan berhemah agar tidak menimbulkan sebarang isu terhadap keharmonian negara.