Polis sedang mengesan dua lelaki kerana disyaki menyerang anjing yang terjatuh dari longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, di Bayan Lepas, semalam.
Ia susulan video tular memaparkan dua suspek terbabit menyerang sesuatu dipercayai anjing, dalam semak pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata terdahulu, pihaknya mengesan video berkenaan pada jam 6 petang semalam, yang disiarkan menerusi artikel di media sosial.
Katanya, video terbabit turut memaparkan keterangan ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati’.
“Menerusi video itu, dua lelaki dilihat sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
“Saksi kemudian membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.38 malam, Sabtu lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarul Rizal berkata, saksi mendakwa melihat dua suspek lelaki tempatan yang tidak dikenali, dipercayai tinggal berdekatan tempat kejadian.
“Suspek menyerang anjing yang terjatuh dari longkang di tepi jalan dan saksi bertindak merakam perbuatan dua lelaki itu menerusi telefon bimbit miliknya.
“Saksi kemudian menghantar video itu kepada rakan di Petaling Jaya, Selangor sebelum ia ditular rakannya menerusi akaun Twitter menggunakan nama @syhmiee,” katanya.
Kamarul Rizal berkata, usaha bagi mengesan suspek masih diteruskan dan kertas siasatan berhubung kejadian juga sudah dibuka.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang mendera atau memukul haiwan tanpa alasan munasabah dan orang ramai juga diingatkan supaya berhenti daripada menularkan video berkenaan,” katanya.
Sumber : Berita Harian