Polis panggil peserta himpunan #KerajaanGagal

POLIS akan memanggil kesemua individu yang terlibat dengan penganjuran Himpunan #KerajaanGagal di padang Dataran Merdeka hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati seramai 20 individu yang berkumpul.

“Siasatan awal yang dilakukan telah dapat mengenal pasti tiga individu yang merupakan penganjur tersebut.

“Himpunan #KerajaanGagal telah bersurai pada jam 3.10 petang dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, himpunan tersebut juga melibatkan beberapa parti politik MUDA, PEJUANG, AMANAH, serta PKR.

Sewaktu himpunan, tertera tulisan “Kita mati dalam derhaka” #keluar dan lawan yang dipaparkan peserta himpunan.

Kesemua mereka bakal dipanggil dalam masa terdekat bagi siasatan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 9(5) APA 2012 kerana berhimpun tanpa notis.