Polis buru suspek berkumpulan, pukul pemandu peribadi

SEORANG pemandu peribadi cedera di bahagian muka dan tangan selepas dipukul menggunakan topi keledar oleh sekumpulan lelaki.

Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam pada 3 April lalu pada jam 4.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan yang dibuat oleh isteri mangsa sebaik sahaja selepas kejadian tersebut.

“Isteri mangsa telah membuat laporan polis, mangsa seorang lelaki melayu kerja sebagai pemandu peribadi mengalami kecederaan lebam di bahagian mata dan pipi, luka pada tangan kanan dan kiri kerana dipukul dengan tangan dan topi keledar.

“Mangsa mengalami kerugian apabila mendapati telefon bimbitnya jenis Huawei Nova 4, dompet yang mengandungi dokumen penting serta wang RM50 telah disamun oleh suspek dan motosikal mangsa telah dibawa lari oleh kumpulan lelaki India yang tidak dikenali tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Setakat ini, usaha untuk memburu kesemua suspek berkenaan sedang giat dijalankan.