Polis buru pesakit bayar bil hospital guna duit palsu

PIHAK polis sedang mengesan seorang pesakit yang membuat bayaran bil rawatan di sebuah hospital swasta di sini pada Selasa menggunakan wang palsu.

Wang palsu dalam not RM100 itu diterima kakitangan kaunter bayaran dipercayai daripada salah seorang pesakit yang menerima rawatan di hospital terbabit pada hari berkenaan, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, penemuan wang palsu itu disedari penyelia berkenaan sebelum dimaklumkan kepada pihak kewangan.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat pegawai kewangan hospital berkenaan di Balai Polis Kuantan di sini pada Selasa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu terbabit termasuk membuat semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di premis hospital terbabit.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang didapati menggunakan wang palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sumber: Sinar Harian