Polis buru lelaki panah anjing sehingga mati

POLIS sedang giat memburu seorang individu lelaki yang dikatakan memanah seekor anjing sehingga mati di Seberang Jalan Putra, Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima aduan pengadu berhubung seorang individu yang memuat naik hantarannya di Facebook mengenai pembunuhan anjing liar secara kejam.

“Berdasarkan rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di situ, seorang lelaki yang menaiki sebuah Proton Waja berada di kawasan itu ketika kejadian.

“Kelihatan imej suspek melakukan aksi panah muncul dalam kamera CCTV dan senjata yang digunakan ialah busar panah dan anak panah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Shukri, aduan pengadu disebabkan soal simpati terhadap haiwan berkenaan selain tidak berpuas hati dengan tindakan individu tersebut.

Polis turut mengambil rakaman keterangan pengadu bagi tujuan membantu siasatan.

Sisatan di lokasi kejadian bersama pasukan Veterinar mendapati terdapat CCTV di kedai berhampiran yang menyaksikan tindakan kejam lelaki berkenaan.

Menerusi rakaman itu, ia jelas menunjukkan seorang lelaki memegang alat memanah dan memanah anjing liar antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi Khamis lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan dirujuk kepada Jabatan Veterinar.