Home Berita Semasa Polis buru Datuk Seri lompat pagar SPRM

Polis buru Datuk Seri lompat pagar SPRM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat memburu seorang suspek bergelar Datuk Seri yang dikatakan telah bertindak melarikan diri dengan memanjat keluar pagar SPRM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berkenaan dikehendaki melibatkan kes penganjuran judi online di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Suspek ini dikehendaki bersabit tiga kes di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Suspek telah melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terlibat sindiket Macau Scam baru-baru ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan media yang dikeluarkan pihak polis pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada 11 Oktober lalu, suspek difahamkan telah melarikan diri dengan memanjat pagar SPRM malah turut dibantu oleh dua pengawal peribadinya.

Tindakan itu sempat dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Terdahulu, suspek bersama lapan lagi individu telah dibebaskan daripada reman dan hadir ke ibu pejabat SPRM bagi proses dokumen jaminan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, DSP Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622.

Exit mobile version