Home Berita Semasa Polis akan buka siasatan, himpunan Hartal Doktor Kontrak

Polis akan buka siasatan, himpunan Hartal Doktor Kontrak

POLIS bakal membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiada mana-mana pihak yang dibenarkan berhimpun sewaktu pelaksanaan PKP.

“Kita akan buka kertas siasatan kerana dalam tempoh PKP tiada sesiapapun dibenarkan berhimpun atau terlibat dalam apa jua perhimpunan di mana-mana tempat bagi apa jua maksud.

“Sama ada keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan tanpa mendapat kebenaran Ketua Pengarah kesihatan sepertimana yang terkandung di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, gerakan Hartal Doktor Kontrak telah keluar beramai-ramai dari setiap hospital di seluruh negara tepat jam 11 pagi.

Sebelum ini, gerakan tersebut dikatakan mempersoalkan kedudukan mereka sebagai doktor kontrak terhadap kerajaan.

Ini termasuk beberapa isu berlainan melibatkan status kontrak yang menimbulkan persoalan berhubung masa depan mereka.

Sebahagian besar doktor lantikan kontrak menzahirkan kebimbangan dan berpendapat sekiranya situasi tersebut berlarutan ia hanya dilihat sebagai penghalang untuk mewujudkan seramai mungkin pakar pada masa hadapan.

Exit mobile version