PMO Perkenal Taklimat Harian untuk Maklumat Tepat kepada Rakyat

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini memperkenalkan inisiatif Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih terus daripada sumber rasmi.

Taklimat ini akan disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook Anwar Ibrahim serta Facebook PMO Malaysia pada pukul 11 pagi dan 5 petang setiap hari.

Dalam siaran langsung pertama pada pagi ini, Tunku Nashrul menjelaskan bahawa taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai isu-isu semasa, dasar-dasar utama, serta perkembangan terkini yang relevan kepada rakyat.

Menurut beliau, langkah ini diambil untuk mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat. Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, PMO mengutamakan komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran, serta pengukuhan nilai-nilai integriti bagi membina kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Dalam era maklumat yang bergerak pantas, adalah amat penting bagi rakyat mendapatkan fakta yang sahih dan tepat. Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan Taklimat Harian ini sebagai salah satu usaha meningkatkan ketelusan pentadbiran,” katanya.

Inisiatif ini juga sejajar dengan gagasan MADANI yang menekankan ketelusan antara kerajaan dan rakyat serta membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang boleh dipercayai.

Tunku Nashrul turut mengajak semua pihak untuk menyokong dan menyertai usaha-usaha kerajaan bagi kebaikan serta kemajuan negara. Beliau menutup taklimat dengan menyeru rakyat untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan pembaharuan dalam aspek komunikasi, pentadbiran, dan kehidupan.

“Saya mewakili Perdana Menteri dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam,” katanya mengakhiri taklimat tersebut.