PM umum barisan Kabinet baharu esok

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengumumkan barisan anggota Kabinetnya pada jam 11 pagi esok.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), majlis angkat sumpah Menteri dan juga Timbalan Menteri bakal berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang.

Sementara itu, PMO pada petang tadi memaklumkan, tiada sebarang pengumuman bakal dibuat oleh Ismail Sabri berhubung senarai Jemaah Menterinya.

Terdahulu, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama 1 jam 30 minit di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Istana Negara memaklumkan, pada majlis sembah menghadap itu, Ismail Sabri telah menyembah maklum senarai Anggota Kabinet beliau kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.