PM jalani kuarantin, tidak sertai majlis angkat sumpah Menteri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan perlu menjalani proses kuarantin selepas didapati menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), Ismail Sabri difahamkan tidak dapat menyertai Istiadat Angkat Sumpah Menteri dan Timbalan Menteri yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu sebelum ini dijadualkan untuk menuju ke Istana Negara bagi mengikuti sama Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.

PMO dalam masa sama memaklumkan, Perdana Menteri hanya akan menyertai secara maya bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2021 esok.

Sementara itu, seramai 31 menteri dan 37 Timbalan Menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara sebentar tadi.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan tujuh menteri terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Fadzillah Yusuff, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri M Saravanan.