PKPD: Individu dibenarkan keluar untuk vaksinasi, tiga individu sebuah kenderaan – PDRM

FOTO: Bernama

ORANG ramai pasti tertanya-tanya bagaimana pergerakan untuk mendapatkan vaksin bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan, tiga individu dibenarkan bagi sebuah kenderaan untuk mereka yang ingin keluar bagi tujuan vaksinasi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagaimanapun orang ramai terlebih dahulu diminta untuk mengemukakan janji temu kepada anggota yang bertugas sewaktu pemeriksaan.

“Penduduk-penduduk di lokaliti PKPD hanya perlu menunjukkan janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang, kad temu janji atau mesej pesanan ringkas (SMS) kepada petugas di lapangan.

Sementara itu, mengulas mengenai kes kecemasan beliau berkata ia bergantung kepada kes bagi setiap individu dan mempunyai budi bicara pihak polis.

Orang ramai dinasihatkan untuk terus patuh kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya kawasan terbaharu yang telah dikenakan PKPD.