Kuala Lumpur: Penyelarasan harga lantai padi kepada RM1,500 adalah langkah strategik untuk memperkukuh pendapatan pesawah dan memastikan keterjaminan makanan negara.
Presiden Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata penyelarasan harga itu penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah.
Katanya, pengumuman kenaikan harga itu dapat mendorong pengurangan kebergantungan kepada pengimportan beras, kerana penanaman padi tempatan menjadi lebih menguntungkan.
“Pada masa sama, memberi subsidi padi secara langsung kepada pesawah dapat menjadi cadangan relevan untuk membantu mereka menghadapi cabaran kos pengeluaran semakin meningkat.
“Pemberian subsidi secara terus juga dapat membantu kos input pertanian seperti benih, baja dan racun sering kali meningkat.
“Subsidi langsung boleh membantu pesawah mengurangkan kos ini, menjadikan mereka lebih kompetitif dan berdaya saing,” ujarnya ketika dihubungi.

Abdul Rashid memberitahu sebelum ini pihaknya mengemukakan penuntutan penyelarasan harga padi kepada RM1,800 dianggap lebih munasabah dan berasas.
Bendahari PeSAWAH, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar, subsidi diberikan itu juga boleh ditukarkan kepada royalti bagi membantu pesawah.
“Sektor ini perlu dinilai semula kerana pesawah dibebani berbagai kos sampingan seperti pelarasan harga benih padi sah,racun dipasaran, upah drone serta upah tanam menggunakan tenaga dan sebagainya.
“Bagi saya, pesawah terima pengumuman baik ini, tetapi harap isu penyelarasan diesel juga dapat dinilai semula kerana ia membebankan,” ujarnya.
Muhamad Rafirdaus bersetuju dengan kenaikan harga agar industri dapat berkembang.
Sementara itu, bagi Penerima Anugerah Pesawah Cemerlang 2019, Jaafar Zakaria, dari Sanglang, Ledah, mampu meraih pendapatan bersih lebih RM60,000 semusim.
Menurutnya, ia adalah daripada 17 hektar sawah yang mampu menghasilkan hasil padi hampir 120 tan metrik.
“Sebagai pesawah, pengumuman ini pastinya disambut baik kerana kenaikan dapat memberi impak besar.
“Penyelarasan harga padi dapat memberikan insentif kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti padi mereka dengan harapan dapat memperoleh keuntungan lebih tinggi,” tambahnya lagi.
Sebagai pesawah, Jaafar gembira dengan pengumuman dibuat.
Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman pengumuman berkenaan ternyata menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib pesawah.
“Penyelarasan harga padi memang memberi impak positif kepada pesawah sering menghadapi cabaran ekonomi seperti kos input semakin meningkat dan hasil tidak menentu,” ujarnya.
Syed Abdul menumpang gembira dengan berita kenaikan harga padi.
Perkara itu turut dipersetujui Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan dengan berpendapat penyelarasan padi membantu pesawah dapat menikmati pendapatan yang lebih baik.
”Penyelarasan ini juga memberi insentif kepada pesawah terus berusaha dalam sektor pertanian, walaupun sering berhadapan cabaran seperti faktor cuaca, penyakit tanaman dan ketidaktentuan pasaran,” katanya.
Adzmi harap pesawah dapat memanfaatkan inisiatif diberikan.
Terdahulu, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan sebelum ini, berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras.