KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya sejak enam tahun lalu, berakhir hari ini.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah, semua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan tersebut secara baik. Peguam syarie yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, Nur Hidayah A Bakar, mengesahkan bahawa tuntutan itu diselesaikan dengan persetujuan bersama selepas prosiding secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.
Nur Hidayah menyatakan bahawa pihak-pihak terlibat berjumpa selama lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes itu, yang kemudiannya direkodkan oleh mahkamah. Semalam, perbicaraan bermula dengan keterangan daripada plaintif, Puan Sri Kalsom Ismail, namun hari ini semua pihak bersetuju untuk berbincang semula dan menyelesaikan isu tersebut.
“Alhamdulillah… hari ini sudah selesai. Bagaimanapun, terma, jumlah atau apa sahaja berkaitan harta itu tidak boleh didedahkan,” katanya.
Dalam prosiding itu, Kalsom diwakili oleh peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. Kalsom, 68, sebagai plaintif, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anak-anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, termasuk membuang hartanah di Boston, Amerika Syarikat dari pernyataan tuntutan. Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki, dan isu berkaitan tanah di Gombak turut dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, bersama lima lagi individu maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang. Mereka yang turut maut termasuk juruterbang Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran, dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.