Pergi umrah ‘tak roger’, Azmin Ali diperli netizen

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini berpeluang mengerjakan ibadah umrah dan berdoa di Bukit Marwah.

Menerusi perkongsiannya di laman Twitter, beliau yang berpakaian ihram memberitahu bahawa dia akan mengerjakan ibadah tersebut sebelum meneruskan misi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

“Saya memulakan misi pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram serta mengerjakan ibadah umrah”, katanya.

Menerusi ciapan yang dimuat naiknya pada 27 April, “sebelum bertahallul saya berdoa di Bukit Marwah, mengambil berkat dari kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mencari air untuk Nabi Ismail yang kedahagaan”.

Difahamkan, Mohamed Azmin akan mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai 26 April hingga 4 Mei 2021.

Walau bagaimanapun, menjengah di ruangan komen rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan ada yang mempersoalkan mengapa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu tidak turut membawa Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Selain itu, ada juga yang mengulas Azmin tidak harus menghebahkan hal-hal peribadi dilakukan seperti mengerjakan ibadat umrah semasa membuat lawatan rasmi.

Ada juga yang meminta Azmin agar menjaga hari rakyat kerana banyak perancangan umat Islam termasuk menunaikan haji dan umrah sejak tahun lalu tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan Covid-19.