Perdana Menteri Rasmikan Majlis Pecah Tanah PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

BESTARI JAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pendidikan, kesihatan, dan perumahan terus menjadi agenda utama Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya hari ini, beliau menekankan komitmen kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan, termasuk pekerja estet, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Kerajaan tidak berada dalam zon selesa. Usaha membantu pihak yang memerlukan mesti terus dilakukan dan dipergiatkan. Program ini adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian.

PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta, projek ini melibatkan peruntukan RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM35 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor. Syarikat BCB menyediakan tapak tanah seluas 20 ekar secara percuma, manakala PR1MA bertindak sebagai agensi pelaksana.

Perdana Menteri optimis bahawa prakarsa seperti ini boleh diperluaskan dan dijadikan contoh dalam memastikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan, mendapat kediaman yang selesa dan berkualiti.

“Ini bukan sekadar projek perumahan, tetapi satu usaha mengangkat martabat rakyat. Kita mahu lebih banyak inisiatif sebegini bagi menjamin kehidupan yang lebih baik untuk semua,” tambah beliau.

Majlis ini turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; serta wakil-wakil dari PR1MA dan Berjaya Corporation Berhad.