KUALA LUMPUR, 19 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi menyembah maklum beberapa urusan negara.
Dalam sebuah hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau berkesempatan bertanya khabar mengenai kesihatan Seri Paduka Baginda selepas menjalani rawatan baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya juga berkesempatan bertanya khabar kesihatan Baginda Tuanku usai menjalani rawatan tempoh hari. Semoga Baginda Tuanku terus dikurniakan keafiatan yang baik untuk memayungi negara, Insya-Allah,” katanya.
Sultan Ibrahim sebelum ini telah selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan muskuloskeletal di luar negara. Kesakitan tersebut berpunca daripada latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda semasa muda, terutamanya dalam sukan polo. Baginda dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari ini.
Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, turut menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus mendoakan kesihatan Baginda.
Pertemuan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan hubungan erat antara kerajaan dan institusi diraja dalam memastikan kestabilan serta kelangsungan pentadbiran negara selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.