Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi Tegas Tolak Pengusiran Rakyat Palestin

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur, 14 Februari – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini isu kemanusiaan serta usaha pembangunan semula Gaza.

Dalam perbualan tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan, serta pembangunan semula wilayah yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.

“Alhamdulillah, saya dan Presiden El-Sisi sependapat dalam menolak usaha mengusir rakyat Palestin dari bumi Gaza. Langkah ini bakal memberikan kesan buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir atas usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan serta mempermudahkan penghantaran sumbangan Malaysia kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik berpanjangan.

Selain itu, Presiden Mesir menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang digerakkan oleh Malaysia dan Jepun menerusi Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi membangunkan semula Gaza. Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya usaha membantu Palestin akan lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara menunjukkan solidariti dan bersama-sama dalam inisiatif ini.

Perbincangan kedua-dua pemimpin turut meliputi hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir, dengan kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan kebudayaan.