KUALA LUMPUR: Penyanyi rap terkenal, NICO atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz (52 tahun), telah meninggal dunia dalam tidurnya di Kg. baru Kuala Lumpur malam tadi sekitar jam 11 malam.
Bekas pengurusnya, Ayob Abd Majid mengesahkan berita tersebut. Menurutnya, Nico singgah di rumah rakannya di Kampung Baru selepas bekerja sebagai pemandu Grab untuk berehat.
“Rakannya cuba mengejutkannya, tapi Nico sudah tidak sedar. Jenazahnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” kata Ayob.
Punca kematian masih belum diketahui, dan keluarga meminta orang ramai menunggu keputusan rasmi.
Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki, Mohd Faizul Shah, 11.
Nico terkenal sebagai sebahagian daripada kumpulan Nico pada awal 90’an dengan lagu hits seperti “Inilah Nasibku”. Kumpulan ini juga menghasilkan album seperti “Buatan Los Angeles” (1993), “Realiti” (1995), dan “Alamak!” (1996).
Beliau sempat kembali dengan projek Ops Kecoh (2003) dan baru-baru ini aktif semula dengan kumpulan Nico G.
Semoga rohnya tenang. Al-Fatihah.