Penyatuan Islam Di Bawah Payung Akidah ASWJ – Sultan Mizan

KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan institusi agama sama ada di peringkat pusat dan negeri untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan umat Islam bagi menyatukan ummah di bawah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Baginda bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu 1446/2024M di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini, hari ini.

Baginda bertitah, penyatuan umat Islam di bawah payung akidah ASWJ adalah suatu keperluan mendesak pada masa kini bagi mengelak perpecahan dan perselisihan yang boleh merosakkan perpaduan ummah.

“ASWJ atau dikenali sebagai Sunni adalah golongan majoriti dalam dunia Islam yang berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan difahami oleh sahabat Baginda.

“Di Malaysia, ASWJ adalah aliran utama dalam Islam yang dianuti oleh seluruh umat Islam.

Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu pun kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (perlu) memastikan umat Islam di Terengganu berpegang dengan ASWJ.

“ASWJ iaitu aspek akidah beraliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah, dari aspek syariah bermazhab Syafie dan meraikan mazhab muktabar lain dan dari aspek tasawuf mengikut Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

“Dengan berpegang teguh kepada akidah yang benar dan murni, kita dapat menghadapi segala cabaran dan ancaman yang mendatang,” kata baginda memetik laporan MyMetro.