Home Berita Semasa Penubuhan USJKT siasat kes kematian dalam lokap – Hamzah Zainudin

Penubuhan USJKT siasat kes kematian dalam lokap – Hamzah Zainudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bagi menyiasat kes kematian sewaktu berada di dalam tahanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan unit berkenaan akan bermula pada 1 Januari bertujuan memperbaiki imej dan integriti PDRM.

“Tujuannya adalah untuk lebih prihatin terhadap apa yang disuarakan oleh rakyat maka bila kita setuju untuk laksanakan penubuhan USJKT ia akan meningkatkan lagi imej dan integriti polis.

“Bermula dari tarikh tersebut semua kes kematian dalam tahanan polis akan disiasat oleh USJKT Bukit Aman dan bukan lagi melibatkan balai yang terlibat dengan kes kematian tahanan,” katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya lagi, unit berkenaan akan terdiri daripada 13 anggota polis yang diketuai pegawai berpangkat Superintenden serta seorang pegawai awam yang akan meneliti kes berkenaan sama ada wujud kes kecuaian, unsur jenayah dan sebagainya.

Hamzah dalam masa sama menegaskan kes kematian di dalam tahanan lokap sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Selain itu, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi melantik Klinik Swasta bagi proses saringan kesihatan tahanan.

Menurutnya, proses yang dilaksanakan ketika ini adalah menggunakan perkhidmatan doktor kerajaan yang mengambil masa panjang.

“Jika ikutkan SOP sedia ada, kita perlu menunggu doktor atau pegawai perubatan yang akan dihantar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana ia akan mengambil masa yang lama.

“Jika khidmat doktor panel klinik swasta dibenarkan maka seorang tahanan boleh dirujuk segera kepada klinik panel untuk proses saringan kesihatannya bagi mengetahui status kesihatan semasa tahanan itu sebelum dibawa ke lokap,” katanya lagi.

Exit mobile version