Penghantar makanan diseret 2KM, pemandu mabuk dipenjara, denda RM13,000

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta denda RM13,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menyebabkan kematian seorang penghantar makanan pada Jun 2020.

Tertuduh, Khor Yong Zhang, 22 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amanina Mohamad Anuar.

Selain itu, tertuduh juga dibatalkan lesen memandunya serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Sementara itu, isteri mangsa, Zahlawatti Dahlan yang ditemui Astro AWANI berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada keluarganya.

“Kakak bersyukur sangat sebab kes ini berpihak pada keluarga, kalua boleh kita mahukan hukuman yang lebih berat tetapi kita akur dengan undang-undang.

“Saya kehilangan suami dan begitu juga dengan anak-anak yang kehilangan ayah jadi Alhamdulillah kakak bersyukur sangat dengan keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada Jun 2020, Allahyarham, Mohamed Zaili Mohamed maut akibat dilanggar pemandu mabuk ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

Malah mangsa juga dikatakan telah diseret sejauh 2 kilometer dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 pagi.

Sebelum ini, keluarga mangsa yang ditemui Astro AWANI turut mengharapkan pembelaan yang sewajarnya terhadap kes ini.

Insiden menyayat hati itu yang tular sebelum ini turut mendapat pelbagai pihak antaranya pendakwah bebas, Ebit Lew yang turut berkunjung ke rumah mangsa untuk menyalurkan bantuan.