Pengarah Matic kutip sendiri sampah termasuk face mask terpakai di ibu kota

BERIADAH sambil kutip sampah di sekitar ibu negara.

Itulah usaha murni yang dilakukan sendiri oleh Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Rudy Irwan Shukaime, 41, sebagaimana perkongsian tularnya di laman Twitter.

Menurut Rudy Irwan, 41, amalan berkenaan dilakukannya sejak dua tahun lalu bermula dengan menyertai aktiviti joging mahupun acara larian.

“Ia sebagai tanda keprihatinan terhadap alam sekitar kerana ketika beriadah, saya mungkin akan menemui sampah sehingga membuatkan saya rasa tidak selesa dan sakit mata memandangnya.

“Jadi, saya terfikir sudah alang-alang apa salahnya bawa plastik bersama supaya boleh kutip sampah jika terjumpa di mana-mana sepanjang kawasan dilalui.

“Saya membuat aktiviti ‘plogging’ ini secara sendirian mahupun berkumpulan dengan pasukan BD Project sejak dua tahun lalu,” katanya.

Katanya, sejak 31 Ogos lalu, dia beralih kepada aktiviti berbasikal, namun tetap menggunakan kaedah sama.

Perkongsian Rudy tular di laman sosial.

“Saya meneruskan kaedah sama kutip sampah tetapi dengan berbasikal sejak 31 Ogos lalu memandangkan acara larian banyak dihentikan kerana pandemik Covid-19.

“Antara sampah yang biasa dijumpai adalah puntung rokok, bekas makanan, tin dan botol minuman serta pelitup muka.

“Selepas mengutipnya, saya akan terus membuangnya ke dalam tong sampah berdekatan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti berkenaan dilakukannya sekurang-kurangnya empat kali seminggu di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Rudy Irwan ajak orang ramai jaga kebersihan tempat awam.

“Saya ambil masa sejam bermula 7 hingga 8 pagi sebelum masuk kerja untuk membuat aktiviti ini dan dua jam pada hujung minggu.

“Kebiasaannya saya selesa meletak kenderaan di pejabat di Jalan Ampang sebelum mengayuh basikal ke sekitar Kuala Lumpur.

“Selain mengutip sampah, saya turut merakamkan gambar kemudahan mahupun fasiliti awam yang rosak sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan,” katanya.

Penjawat awam itu berharap amalan dilakukannya menjadi contoh kepada masyarakat supaya prihatin menjaga alam sekitar.

“Kadang-kadang tempat cantik tetapi terjejas keindahannya hanya disebabkan sampah sarap dan kemudahan awam rosak.

“Justeru, saya mengajak orang luar menjaga kebersihan dan kemudahan awam bersama bukan hanya meletakkan tanggungjawab semata-mata kepada pekerja pembersihan mahupun PBT.

“Saya berharap apa yang dibuat ini menjadi contoh dan dorongan kepada orang lain termasuk anak saya sendiri kerana kalau semua orang mempunyai kesedaran, pasti bandar raya kita akan bersih, malah orang luar terutama pelancong pun suka datang,” katanya.

Sumber: Harian Metro