Pemandu lori hantar mesej lucah kepada wanita tidak dikenali didenda RM6,000

Technology photo created by freepik - www.freepik.com

SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis selepas mengaku bersalah menghantar mesej lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita yang tidak dikenalinya, dua tahun lepas.

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Razman Ramli, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Mohd Razman membayar denda itu, lapor Astro AWANI.

Mengikut pertuduhan, Mohd Razman didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah sifatnya kepada seorang wanita menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan komunikasi itu telah dilihat di sebuah rumah di Ara Damansara di sini pada 2.49 petang, 20 April 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mohd Razman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia adalah bapa tunggal yang perlu menanggung dua anak masih kecil dan ibu yang uzur selain menyesal melakukan perbuatan itu serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Sumber: Astro AWANI