Sebahagian daripada pemain negara menolak untuk bertemu dengan pengamal media Malaysia selepas kekalahan besar 0-4 di tangan Jordan pada perlawanan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub awal pagi waktu Malaysia
Dengan wajah penuh kekecewaan mereka terus menaiki bas untuk pulang ke hotel.
Bagaimanapun, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim berhenti seketika di zon temu ramah sebagai wakil kepada pasukannya.”Kalah 4-0 bukan keputusan yang kita inginkan. Kami semua pun tak jangka ia berlaku kerana selama tiga minggu kita berlatih dan membuat persediaan sebenarnya peluang (raih keputusan positif) itu ada tetapi kita dibolosi dua gol awal, satu penalti dan satu percubaan dari luar kotak penalti.
“Ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa, kita kena perbaiki kekurangan pasukan. Kim (Kim Pan Gon) sudah buat habis baik untuk pasukan tetapi kita kena realistik dengan kualiti yang kita ada dan tahap (permainan) yang pernah kita main,” kata pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu.
Jelas Faisal, mereka harus segera melupakan kekalahan itu dan bangkit untuk perlawanan seterusnya bertemu Bahrain dan Korea Selatan dalam usaha untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
“Kita masih ada lagi dua perlawanan, peluang untuk kita melangkah (pusingan 16 terbaik) sekarang memang sukar, tetapi dalam bola sepak kita perlu berusaha dan beri terbaik sekurang-kurangnya untuk membanggakan rakyat Malaysia,” katanya.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan di sini pada 25 Jan.
@izzatra Sedih memang sedih. Menang atau kalah itu la adat permainan. Hari ini mungkin hari mendung buat kita, tapi jangan lupa hari-hari penuh sinar kita sebelum ini. Masih ada harapan. Ubah dan belajar dari kesilapan. Fokus untuk game seterusnya! #ekorharimausejati #harimaumalaya #كأس_آسيا2023 #AsianCup2023 ♬ original sound – izzatRA
Sumber : Bernama