Pelajar sekolah cedera dirempuh kereta lari daripada penjenayah

SEKUMPULAN pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting, Selangor tengah hari tadi berdepan detik mencemaskan apabila dirempuh sebuah kereta yang cuba melarikan diri daripada penjenayah.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari tadi, mangsa, dua lelaki di dalam kereta jenis BMW itu turut cedera di dada dan badan selepas ditembak dua suspek yang menunggang sebuah motosikal.

Sebelum itu, kedua-dua mangsa cuba melarikan diri apabila dikejar kedua-dua suspek sebelum merempuh sekumpulan pelajar berkenaan.

Ketiga-tiga pelajar yang dirempuh kini dirawat di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan kejadian itu.

“Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital sementara identiti kedua-dua suspek yang berjaya melarikan diri masih disiasat.

“Tiga pelajar yang dirempuh dan mengalami kecederaan kaki dan leher juga kini dirawat sebagai pesakit luar,” katanya kepada The Star.

Fadzil berkata, hasil siasatan awal polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada persengketaan dua kumpulan.

Berita selanjutnya menyusul.

Sumber: The Star