Pelajar conteng baju sekolah carut cikgu kena dakwa

DUA pelajar yang memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru sambil menunggang motosikal, Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Gambar yang tular minggu lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, di sini, 4 petang 3 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Tular di media sosial minggu lalu apabila dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.

Sumber: Harian Metro