KUALA LUMPUR – Krisis membabitkan Kelantan FC memasuki episod baharu apabila dua pelabur tampil menuntut kembali wang pelaburan yang dibuat atas syarikat dimiliki oleh Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Dua pelabur berkenaan membuat pelaburan bersama The Red Warriors (TRW) FC Berhad dengan nilai mencecah RM200,000 namun, sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pulangan biarpun dijanjikan keuntungan 10 kali ganda mencecah RM1 juta seorang.
Situasi itu membuat mereka berada tertipu dengan janji-janji kosong yang dibuat Zamsaham, kedua-dua pelabur berkenaan juga telah membuat laporan polis selain laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum mendapatkan khidmat guaman.
“Saya sudah melabur di The Red Warriors FC Berhad sejak 2020 dengan nilai sebanyak RM100,000 namun, sehingga kini saya tidak mendapat sebarang pulangan seperti yang dijanjikan dan kami pelabur juga tidak mendapat maklumat yang tepat tentang syarikat.
“Sekarang, pelabur terkapai-kapai selepas tiada AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) dibuat untuk kami jadikan saluran bertanya dan mendapatkan maklumat. Mereka (pihak Zamsaham) ada bagi tarikh tetapi asyik ditunda dan dibatalkan.
“Cara yang digunakan Zamsaham juga meragukan kerana dia tidak menghimpunkan kesemua pelabur sebaliknya, dia hanya meletakkan seorang pelabur dalam satu kumpulan bersama pihak syarikat sekali gus membuatkan kami tidak kenal antara satu sama lain.
“Saya difahamkan nilai pelaburan untuk The Red Warriors FC Berhad ini mencecah RM16 juta. Jadi sekarang, saya mahukan Zamsaham pulangkan kembali wang pelaburan ini,” kata seorang pelabur yang hanya dikenali sebagai Am.
Ketika ini, krisis hangat membabitkan Kelantan FC selepas Zamsaham berdepan pelbagai tekanan termasuk krisis atas padang dan juga luar padang selain difahamkan kelab Pantai Timur itu dalam proses untuk dijual kepada pemilik baharu.
Sementara itu, seorang lagi pelabur yang ingin dikenali sebagai Zul berkata, dia melabur dengan syarikat berkenaan pada hujung 2020 dan terpanggil untuk menuntut hak selepas ada beberapa isu yang kurang enak membabitkan pelaburan yang diketuai Zamsaham.
“Kami (pelabur) tertarik dengan pelan pelaburan Zamsaham selepas kami hadir ke kelas saham yang dianjurkannya. Pada mulanya nampak cantik tetapi, segala-galanya berubah dan kami tidak dapat apa-apa pulangan sejak melabur.
“Wang pelaburan ini bukan sedikit dan saya terpaksa mengorbankan banyak perkara untuk menyediakan wang pelaburan ini. Jadi, besar harapan kami agar wang ini akan diperolehi kembali,” katanya.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili dua pelabur berkenaan, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, perbincangan dengan pihak Zamsaham telah dilakukan namun, tiada jalan penyelesaian yang konkrit.
“Kes ini tidak dibawa ke mahkamah lagi buat masa ini dan kami mahu pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci terhadap laporan polis dan laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia terhadap Zamsaham.
“Secara keseluruhan ketika ini terdapat satu syarikat dan tujuh individu tampil kepada kami dengan nilai kerugian mencecah RM900,000 melibatkan pelaburan yang dibuat ke atas syarikat yang dimiliki oleh Zamsaham.
“Saya menasihatkan agar mana-mana individu atau syarikat yang rasa tertipu dengan pelaburan membabitkan Zamsaham tampil kehadapan atau kepada kami dan mendedahkan setiap masalah yang dihadapi untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, pihak Zamsaham mendakwa kenyataan berkenaan adalah bersifat fitnah dan terdapat fakta-fakta yang dimanipulasi.
Justeru, satu sidang akhbar bakal diadakan mereka bagi memberi penjelasan isu berkenaan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Sumber : Utusan Malaysia