Pegawai Kanan SPRM direman, miliki dadah dan senjata api

SEORANG Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman selama empat hari bermula 22 September bagi membantu siasatan berhubung kes pemilikan dadah dan senjata api.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut memberitahu, siasatan juga akan dibuat berikutan kes kecurian barang kes berjumlah enam juta USD.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan yang dibuat terhadap Pegawai Kanan SPRM pada 21 September.

“Tangkapan dilakukan bagi tujuan siasatan oleh pihak PDRM berhubung kesalahan memiliki dadah berbahaya dan memiliki senjata api serta peluru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, polis membuka beberapa kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kontroversi membabitkan tangkapan tiga pegawai SPRM bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.