Pasangan Peniaga Roti Nan Disimbah Asid : Wanita Warga Emas Ditahan

Seorang wanita warga emas dipercayai menjadi dalang dalam kejadian pasangan suami isteri cedera disimbah asid, ditahan hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad berkata, tangkapan terhadap suspek dilakukan pada pukul 4.20 petang di sebuah kediaman di Rawang, hari ini.

“Tangkapan telah dibuat ke atas suspek terlibat bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Wanita berusia lingkungan 60-an itu ditahan di Taman M, Residensi Rawang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah akan diadakan esok, di Mahkamah Selayang.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan seorang lelaki warga asing berumur 37 tahun cedera disimbah asid.

Kejadian berlaku semasa pasangan tersebut bersama seorang anak lelaki berusia 14 tahun sedang masuk ke dalam lif sebelum didatangi seorang wanita yang tidak dikenali.

Suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif dan terus melarikan diri.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu, pipi dan mata serta belakang bahu.

Dalam pada itu, turut tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik pengguna Facebook, Khairy Adli berhubung kejadian tersebut.

Dia mendakwa mangsa adalah keluarga sahabatnya dan pasangan suami isteri itu bekerja sebagai peniaga roti nan.

Khairy Adli turut mendakwa kejadian tersebut adalah berunsurkan dengki dan tidak puas hati pihak lain ekoran seminggu sebelum kejadian, kedai makan mangsa turut hangus terbakar.

Sumber : Kosmo