PETALING JAYA – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pasangan suami isteri itu akan didakwa berhubung kerugian RM43.9 juta daripada pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Pasangan tersebut ditahan pada tengah hari semalam, tetapi mereka dibenarkan untuk hadir ke mahkamah pada Khamis ini setelah diberikan jaminan oleh SPRM.
Pada 28 November lalu, SPRM mengumumkan bahawa siasatan ke atas pasangan itu telah selesai, dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan SPRM mendapati beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang tersebut sejak 2018 hingga 2023. SPRM juga telah merampas sekitar 60 kotak dokumen dari FashionValet, Khazanah, dan PNB bagi membantu siasatan.