Padah tunjuk samseng, ingkar SOP dan ugut bunuh polis, warga emas direman tiga hari

SEORANG warga emas berusia 62 tahun direman selama tiga hari selepas bertindak mencabar penugasan pihak polis.

Perbuatan itu dilakukan ketika polis sedang membuat rondaan sebelum mendapati suspek berada di sebuah premis makanan dan berkumpul dalam keadaan melebihi dua individu bagi satu meja.

Sebahagian daripada mereka telah melarikan diri namun suspek telah mendekati pasukan polis dan membuat ugutan bunuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, suspek juga didapati berkelakuan agresif.

“Suspek telah menendang salah seorang anggota polis dan enggan memberi kerjasama sewaktu tangkapan.

“Suspek juga telah mengeluarkan kata-kata kesat sebaik sahaja tiba di balai polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod jenayah terhadap suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan menghalang tugas penjawat awam.

Tidak cukup dengan itu, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh sewaktu di balai polis.

Malah, suspek juga berdepan kompaun RM1,000 berikutan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0) yang jelas tidak mematuhi penjarakan fizikal ketika di premis makanan. -TheNewsMalaysia