Nik Ezanee dilantik juruiring PM

SENIOR Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kini beralih tugas selaku juru iring rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut laporan Astro AWANI, sumbernya menyatakan Nik Ezanee telah memulakan tugas rasminya bermula hari ini.

“Beliau telah diarahkan untuk lapor diri bermula hari ini di Pejabat Perdana Menteri,” memetik sumber berkenaan.

Sebelum menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, beliau terdahulu turut memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, beliau yang dihubungi Astro AWANI hari ini mengesahkan pelantikan tersebut.

Mengulas mengenai penggantinya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, setakat ini perkara itu masih belum lagi diputuskan.

Nik Ezanee merupakan anggota polis yang sebelum ini lantang menyuarakan isu rasuah terutamanya membabitkan anggotanya menerusi temu bual di beberapa platform media.