Musim baharu perkukuh hubungan ekonomi Malaysia-UAE

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkukuhkan hubungan dua hala sekali gus bersedia berkerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, dan teknologi.

Kunjungan itu juga menandakan lawatan rasmi kedua Perdana Menteri ke UAE, juga lawatan luar negara pertamanya pada 2025 sebagai Pengerusi ASEAN.

Pengerusi Institut Kajian Stratergik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Prof. Dr. Faiz Abdullah, berkata lawatan itu memperkukuhkan perkongsian ekonomi negara untuk terus berkembang sebagai negara perdagangan.

Katanya, antara sorotan utama lawatan itu adalah penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA), juga Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pertama Malaysia dengan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Perjanjian ini dijangka merangsang pertumbuhan perdagangan, meningkatkan pelaburan dan memacu kerjasama dalam sektor seperti perdagangan halal, kewangan Islam, pembangunan modal insan serta ekonomi digital.

“CEPA bakal memudahkan kerjasama bagi  industri sedang berkembang seperti infrastruktur digital, teknologi hijau dan pembangunan industri.

“Pada masa sama memacu pertumbuhan kukuh dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membuka pintu pasaran UAE,” ujarnya dalam satu kenyataan.

MY-UAE CEPA menjanjikan manfaat besar kepada kedua-dua negara dengan memberikan akses bebas cukai segera kepada 6,331 barisan tarif produk dan meningkatkan eksport Malaysia seperti minyak sawit mentah, bahan kimia, plastik, elektronik, barang kemas dan makanan diproses dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Beliau berpendapat, satu lagi peristiwa penting adalah penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi, di bawah inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia Madani (MMAI).

Ujarnya, kerjasama itu mencerminkan visi bersama kedua-dua negara untuk memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan komuniti lebih selamat dan terjamin sambil memupuk pembangunan lestari.

“Peranan Perdana Menteri dalam perbincangan mengenai masa depan ASEAN saling berkait di Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) turut menonjolkan komitmen negara terhadap kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Negara kini berada di laluan jelas untuk melaksanakan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara, dengan pelaburan meningkat dalam teknologi hijau membawa ke arah masa hadapan lestari.

“Selain daripada memupuk kerjasama dalam bidang tenaga dan teknologi, pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan makanan dan pusat data,” jelasnya lanjut.

Faiz memberitahu, kunjungan itu juga mencerminkan penglibatan semakin meningkat daripada UAE dengan negara-negara ASEAN, menekankan statusnya sebagai Rakan Dialog Sektoral pertama ASEAN daripada GCC.

Beliau berkata, penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEP) UAE-Indonesia yang berkuatkuasa pada September 2023 turut menonjolkan komitmen UAE untuk memperdalam hubungan dengan Asia Tenggara.

“Sambutan hangat diterima Perdana Menteri daripada pemimpin UAE, pengurus dana kekayaan negara dan pemimpin perniagaan menunjukkan masa hadapan cerah bagi hubungan Malaysia-UAE.

“Kunjungan ini meletakkan asas kukuh untuk perkongsian jangka panjang saling menguntungkan dan membuka jalan untuk kerjasama lanjut melalui inisiatif seperti platform ekonomi ASEAN-GCC.

“Hubungan kukuh dengan UAE akan menyumbang kepada pemecutan integrasi ekonomi serantau dan meletakkan negara sebagai pintu gerbang bagi perniagaan UAE ingin memasuki pasaran ASEAN,” katanya.