Muhyiddin bebas dengan jaminan SPRM, pendakwaan bermula esok

TAN Sri Muhyiddin Yasin yang telah ditahan hari ini telah dibebaskan dengan jaminan Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) namun tetap akan hadir untuk pendakwaan di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Perkara tersebut telah disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, lapor Bernama.

Muhyiddin telah dibebaskan pada pukul 8.20 malam tadi selepas ditahan dari pukul 1 tengahari Khamis.

Bekas Perdana Menteri itu telah hadir di ibu pejabat SPRM untuk dirakam percakapan beliau bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu yang berkaitan.

SPRM menjelaskan telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu bakal berdepan pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu, akaun BERSATU dan Ketua Penerangan parti tersebut, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad telah dibekukan oleh pihak SPRM.

Kedua-dua individu tersebut juga telah didakwa di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin Yasin mendedahkan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melayannya secara berhemah dan tidak menekannya ketika memberi keterangan selama lebih lapan jam.

Presiden Bersatu itu berkata, tempoh penahanannya berlangsung dengan agak lama disebabkan banyak perkara yang perlu diperiksa dan memakan masa.

“Mereka menguruskan perkara ini dengan agak berhemah, malah turut menghormati saya.

“Ia memakan masa kerana perlu melihat satu persatu rekod dan semakan dibuat sebelum dipersetujui.

Sumber gambar – Facebook & Wikipedia | Sumber laporan – Bernama & Harian Metro