Motosikal Yamaha RXZ, NVX jadi ‘pengapit’ pengantin baharu

    SEORANG pengantin baharu tidak menyangka idea spontan ahli keluarga meletakkan motosikal Yamaha RXZ dan Yamaha NVX bersama set dulang hantaran di pelamin semasa majlis persandingan yang berlangsung serentak dengan adik perempuannya di Kampung Alor Pak Bang, Marang, Terengganu semalam, tiba-tiba viral di media sosial.

    Nurul Alwani Khalda, 28, berkata, idea yang dicadangkan abangnya itu sekadar simbolik kepada hantaran motosikal yang diberikannya kepada suami, Ahmad Muzzammil Samsudin, 28, di samping untuk menyerikan hantaran adiknya, Nur Fatihah, 23, dan pasangan, Ahmad Shamsuddin Norhisam, 24, pada majlis persandingan mereka semalam.

    Bagaimanapun, katanya, kedua-dua motosikal yang diletakkan di pelamin itu bukan kepunyaan suami mereka, sebaliknya, milik abang dan adiknya yang sudah lama dibeli tetapi kelihatan seolah-olah masih baharu kerana jarang digunakan.

    PASANGAN pengantin, Nurul Alwani Khalda (kanan) dan suami, Ahmad Muzzammil Samsudin bergambar di pelamin bersama hantaran termasuk motosikal Yamaha RXZ dan NVX yang viral di media sosial. – Gambar kredit: HAZRUL FOTO II MOMENTO

    “Saya telah menyediakan replika Yamaha 15ZR atau ‘Ysuku’ pada dulang hantaran, tetapi kenderaan itu tiada kerana digunakan suami untuk berkonvoi bersama rakannya ke rumah saya bagi majlis semalam manakala adik pula tidak memberikan sebarang hantaran motosikal.

    “Idea untuk membawa masuk kedua-dua motosikal ke da­lam rumah bagi diletakkan di pelamin bersama set hantaran lain timbul secara spontan pada sebelah malam selepas pernikahan kami dua beradik pada petang Jumaat minggu lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

    Setakat pukul 1 petang ini, gambar mengenai hantaran motosikal yang dimuat naik oleh jurugambar pengantin itu, Hazrulphoto IL Momento dalam laman Facebook miliknya pagi semalam mendapat lebih 1,200 tanda suka di samping 2,000 komen dan hampir 5,000 perkongsian.

    ADIK Nurul Alwani Khalda, Nur Fatihah (kanan) turut diraikan bersama pasangan, Ahmad Shamsuddin Norhisam semalam.

    Nurul Alwani yang berkelulusan Sains Sukan (Sains Eksesais) dari Universiti Malaya berkata, selain tarikan hantaran, majlis perkahwinan dua pasangan pengantin itu turut mendapat perhatian tetamu apabila nama bapa suaminya, Samsudin yang kebetulan sama dengan nama adik ipar, Ahmad Shamsudin.

    Katanya, perkahwinan bersama suami sepatutnya dilakukan pada Mac lalu selepas kira-kira lapan tahun berkenalan termasuk dua tahun tempoh bertunang, tetapi majlis itu ditangguhkan kepada Jun berikutan pandemik Covid-19.

    Sumber: Utusan Malaysia