PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa menafikan sebarang kenyataan media berkaitan adendum yang dikeluarkan oleh pihaknya pada Jumaat.
Menerusi satu hantaran Facebook miliknya, kenyataan media tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan atas arahannya.
“Untuk makluman, kenyataan media ini adalah PALSU dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya.
“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular penyebaran titah adendum penahanan rumah oleh mantan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Januari 2024.
Adendum penahanan rumah tersebut berkait dengan penahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, titah tersebut menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat setelah anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nizar mendakwa beliau menerima bukti tambahan baharu daripada Istana Pahang dan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.