Kuala Lumpur: Isu Palestin bukan sekadar masalah politik, tetapi isu kemanusiaan yang melibatkan ribuan nyawa yang ditindas oleh kekejaman rejim Israel.
Seharusnya, pandangan yang konstruktif diberikan terutama apabila menyentuh isu yang sangat sensitif.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti Keadilan Rakyat, Amidi Abdul Manan,
berpendapat kritikan atau pertikaian terhadap bantuan Palestin tidak seharusnya timbul.
Katanya, hal itu berikutan Israel tidak pernah tunduk pada desakan masyarakat antarabangsa terutama dalam soal penyelesaian dua negara dipersetujui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Israel terus mengabaikan resolusi antarabangsa dan bertindak sesuka hati terhadap rakyat Palestin.
“Kenyataan dikeluarkan seolah-olah memperkecilkan masalah berlaku, seperti menunggu kucing bertanduk dalam situasi tidak mungkin terjadi.
“Sejarah membuktikan bahawa Israel tidak akan mengubah pendirian mereka, apatah lagi menerima syarat-syarat hampir mustahil itu,” ujarnya daam satu kenyataan.
Katanya, dalam konteks kewujudan Israel dan hak Palestin, negara sentiasa teguh dengan prinsip membela hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah mereka sendiri.
Jelasnya, tanpa tindakan nyata daripada negara-negara besar segala bentuk penyelesaian hanya kekal sebagai kata-kata kosong.
“Rakyat Palestin terus hidup dalam penderitaan, dengan kemudahan asas seperti masjid, sekolah dan hospital dibom tanpa belas kasihan oleh Israel,”ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, bantuan diberikan adalah berlandaskan pelbagai konteks termasuk nilai kemanusiaan yang tergadai.
Selain itu, katanya bantuan disampaikan itu juga berteraskan kepentingan rakyat dengan mengutamakan kemanusiaan dan keadilan.
“Rakyat Palestin berhak mendapat pembelaan daripada kita sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan.
“Bukan sekadar mempertikaikan penggunaan dana awam. Saya akui bahawa isu penggunaan dana awam adalah penting dan harus diuruskan dengan baik.
“Namun, jika dinilai semula, apakah nilai atau manfaat diperoleh rakyat daripada projek mega seperti Litar Lumba F1 di Sepang atau patung helang di Langkawi?” soalnya lagi
Beliau turut mencadangkan agar kos tersebut digunakan untuk membaiki sekolah-sekolah daif di luar bandar atau hospital yang uzur di pedalaman bagi memberi impak kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Saya percaya Tan Sri berkenaan pasti sedar betapa pentingnya untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat,” katanya.