Mengaku langgar SOP, Tun Dr Mahathir sedia terima tindakan

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika menghadiri sebuah program di Langkawi, 8 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kesalahan itu dilakukan beliau semasa program sumbangan raya kepada penduduk di Surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang, Kuah.

Beliau berkata, “Saya dimaklumkan pada acara tersebut, saya telah melanggar SOP dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau tersebut.

…Ini merupakan satu kesalahan. Perkara ini tidak harus berlaku. Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP”, jelasnya lagi.

Menurut Tun Dr Mahathir, beliau akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan kerana Covid-19 adalah wabak yang serius dan penyakit itu tidak mengenali sesiapa mahu pun sempadan kawasan.

“SOP harus dipatuhi tidak kira oleh sesiapa kerana ini dapat bantu bendung merebaknya penyakit ini. Kita tidak harus ambil ringan. Sekali lagi saya minta maaf kerana melanggar peraturan ini,” tambahnya.