Mayat terapung di Taman Tasik Jaya

POLIS menerima laporan berhubung penemuan satu mayat dalam keadaan terapung di Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mayat tersebut dijumpai sekitar jam 10 pagi.

Ketika kejadian, saksi mendakwa melihat mangsa sedang melakukan aktiviti senaman berhampiran lokasi tersebut.

“Saksi menemui mangsa sedang bersenam sekitar jam 8 pagi sebelum menemui mayat dalam keadaan terapung dikatakan individu sama sejak sejam lalu,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang elemen jenayah dikesan terhadap mangsa.

Hasil pemeriksaan juga tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada badan mangsa.

Kes telah diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut manakala mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.