Home Berita Semasa Mayat Lelaki Terapung di Taman Tasik Shah Alam

Mayat Lelaki Terapung di Taman Tasik Shah Alam

Polis menemuikan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian di Taman Tasik Shah Alam kira-kira jam 8.19 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Lelaki tersebut dipercayai warganegara asing berikutan tiada suntikan BCG pada bahu sebelah kiri.

“Pemeriksaan oleh pihak Forensik Selangor ke atas badan si mati mendapati terdapat kesan luka melecet pada leher di sebelah kanan dan kiri serta luka kecil pada pipi dan hidung.

“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian si mati,” katanya.

Mohd Iqbal berkata mayat itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat esok pagi bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai penyiasat Insp Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584,” katanya.

 

Exit mobile version