Mayat dipercayai lemas sejak semalam ditemui

BOMBA menemui mayat seorang lelaki yang berkemungkinan lemas pada Khamis di Taman Tasik Cyberjaya, Semarak Garden Cyberview. 

Mayat berkenaan ditemui Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) sekitar jam 10.35 pagi pada Jumaat. 

Menurut Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, mayat berkenaan ditemui pada kedalaman 6.5 meter dengan anggaran jarak sekitar 20 meter dari tebing. 

“Mangsa merupakan seorang lelaki dianggarkan berumur 30-an, bagaimanapun identitinya belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, mayat tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Dalam kejadian pada Khamis, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya, Semarak Garden Cyberview.

Insiden tersebut dikatakan berlaku pada jam 12 tengah hari apabila ia disedari pihak pekerja pembersihan.