Mayat bayi perempuan usia sehari ditemukan atas rumput

MAYAT seorang bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat dan cukup sifat ditemui di Blok A Flat Danau Kota, Setapak di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada saksi awam berkenaan penemuan mayat bayi itu dalam keadaan lebam di kawasan rumput dan beralaskan papan (kayu), lapor Kosmo.

“Siasatan awal mendapati mayat yang dijumpai dipercayai berumur sehari, jantina perempuan dan bangsa tidak pasti.

“Mayat bayi tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Kosmo