Mayat bayi disorok lebih setahun dalam peti sejuk selepas ibu masuk penjara

MAYAT seorang bayi yang meninggal semasa lahir ditemui di dalam peti sejuk beku di Chiang Mai, Thailand.

Lebih mengejutkan, mayat tersebut dipercayai disembunyikan bapanya di sebuah rumah sejak lebih setahun lalu, lapor Astro AWANI.

Menurut Komander Polis Chiang Mai, Thawatchai Pongwiwatchai, mayat bayi yang dibalut dengan tuala kuning ditemui pekerja yang diupah mengubah suai sebuah rumah di perkampungan Wa Ket di daerah Muang di sini.

Katanya, bayi yang mati selepas dilahirkan itu adalah milik pasangan kekasih yang dahulunya tinggal di rumah tersebut yang tidak dapat mengebumikan bayi itu selepas ibunya ditangkap atas dakwaan mencuri.

Sebelum ibu bayi yang dikenali sebagai Uew berusia 24 tahun dihantar ke penjara, pemilik asal rumah itu berpindah semula ke rumahnya dan apabila pekerja pengubah suaian membuka peti ais tersebut, dia menemui mayat bayi dibungkus dan diletakkan mainan bersamanya.

Tambahnya, pegawai polis dan pasukan penyelamat bergegas pergi ke rumah tersebut dan mendapati mayat bayi itu telah meninggal dunia lebih setahun lalu.

Sumber: Astro AWANI