Home Berita Semasa Masalah kewangan keluarga punca bayi jadi korban ditetak bapa saudara

Masalah kewangan keluarga punca bayi jadi korban ditetak bapa saudara

AKIBAT kesempitan hidup, seorang bayi perempuan berusia setahun maut akibat ditetak bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Parit Mahang, Jeram pada semalam.

Kejadian pada jam 12.25 tengah hari itu berpunca akibat pergaduhan sesama keluarga yang turut mengakibatkan ibu kepada bayi berkenaan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan orang awam dibuat terhadap suspek berusia 27 tahun pada hari yang sama di lokasi kejadian selain turut merampas sebilah parang.

“Tangkapan awal dilakukan oleh ahli keluarga suspek sendiri dan semasa tangkapan dibuat polis mendapati suspek mengalami kecederaan akibat pergelutan antara ahli keluarga.

“Suspek telah dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Datuk Arjunaidi memaklumkan suspek berada dalam keadaan lemah pada jam 4 petang sebelum dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk menerima rawatan.

Suspek dilaporkan meninggal dunia di hospital pada sekitar jam 6.37 petang selain turut memaklumkan keadaan itu kepada keluarga suspek.

“Proses bedah siasat akan diadakan secepat mungkin selepas pihak hospital mendapatkan keputusan ujian saringan COVID-19.

“Satu laporan polis telah dibuat keluarga si mati agar siasatan dibuat bagi tujuan mendapatkan punca sebenar kematian suspek,” katanya lagi.

Susulan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Selangor turut membuka kertas siasatan bagi menumpukan prosedur operasi standard (SOP) terhadap aspek kelakuan jenayah semasa mengurus suspek.

Exit mobile version