PUTRAJAYA, 28 Januari 2025 – Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara ASEAN pertama yang membangunkan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, sebuah projek berimpak tinggi di bawah naungan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Projek ini dijadualkan dilancarkan selepas Ramadan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan semula Gaza secara mampan pasca peperangan.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan Malaysia dalam memperkukuh solidariti terhadap Palestin serta peranannya di peringkat antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan rakyat Gaza.
Projek ini akan menampilkan pembangunan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia, sebuah masjid berkembar Masjid Shah Alam, sebuah Sekolah Malaysia, taman rekreasi, 56 premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan, dan sebuah menara tangki air.
Antara sumbangan utama dalam projek ini termasuk:
Masjid Berkembar Shah Alam & Apartmen Wakaf Selangor – Diwakafkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri membantu pembangunan Gaza.
Sekolah Malaysia di Gaza – Dibiayai oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek ini.
Malaysia Central Kitchen & Apartmen Wakaf Putrajaya – Ditaja oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) untuk menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.
Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain – Kerajaan Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang turut menyumbang kepada pembangunan ini.
Projek ini juga mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, yang telah melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan Gaza.
Dana RM120 Juta, RM40 Juta Telah Dikumpulkan
Menurut Dato’ Sani Araby, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, projek ini bukan sekadar bantuan kemanusiaan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh global.
“Projek ini adalah simbol solidariti Malaysia, merangkumi semua bangsa dan agama, demi membina semula Gaza,” katanya.
Dengan anggaran kos sebanyak RM120 juta, projek ini akan dibangunkan di atas tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dimeterai perjanjian di Gaza pada Februari 2023. Sehingga kini, RM40 juta telah dikumpulkan melalui sumbangan wakaf.
MAPIM, bersama CGM, Gagasan MyAqsa Defender, dan beberapa NGO lain, sebelum ini telah berjaya membina 10 masjid di Gaza, selain membaik pulih hospital, sekolah, ruang ekonomi, dan rumah rakyat Palestin.
“Malaysia bukan hanya menghantar bantuan kemanusiaan, tetapi kini komited dalam membangunkan semula Gaza dengan konsep wakaf yang mampan dan jangka panjang. Ini langkah ke hadapan untuk memastikan rakyat Palestin dapat kembali menjalani kehidupan lebih baik,” tambahnya.
Pelancaran Selepas Ramadan, Komitmen Berterusan Malaysia
Majlis pelancaran rasmi projek ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan bakal menjadi peristiwa bersejarah dalam hubungan diplomasi serta bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Palestin.
Projek ini juga seiring dengan agenda Malaysia MADANI, yang menekankan keprihatinan terhadap isu global serta perjuangan keadilan dan hak asasi manusia di Palestin.
“PALESTIN MERDEKA – MALAYSIA MEMBELA GAZA HINGGA AKHIRNYA!”